LIMBANG, 9 Jun: Golongan mualaf di kawasan Batu Danau melahirkan rasa teruja dan bersyukur kerana terus diberi ruang menyertai program ibadah korban yang dilaksanakan saban tahun sejak lebih 10 tahun lalu sekali gus membuka peluang untuk menghayati erti sebenar pengorbanan dalam Islam.
Mereka menyifatkan program anjuran Pusat Khidmat DUN Batu Danau itu bukan sahaja tidak pernah meminggirkan saudara baharu malah menjadi platform terbaik dalam memupuk kefahaman mendalam tentang Islam dan mempererat silaturahim dalam kalangan masyarakat setempat.
Mohamad Hidayat Abdullah, 60, dari Kampung Buluh Balui berkata, beliau mula mendalami makna sebenar pengorbanan sejak memeluk Islam pada tahun 2001 menerusi penyertaan aktif dalam program korban.
“Apabila melihat ibadah korban dijalankan, saya merasa terharu dan memahami betapa besarnya hikmah yang terkandung di dalamnya.
“Ramai juga rakan-rakan yang tertarik dengan konsep korban itu sendiri dan berusaha untuk mendalami maksud sebenar pengorbanan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Ibadah Korban di Kampung Buluh Balui, hari ini.
Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Dato Paulus Palu Gumbang.
Sementara itu, seorang lagi mualaf dari Kampung Limpasong, Mohamad Ari Bakar Abdullah, 66, menyifatkan program seperti ini bukan sahaja menepati tuntutan agama malah memainkan peranan besar dalam menyatupadukan masyarakat berbilang agama dan kaum.
Beliau yang memeluk Islam lebih 30 tahun lalu berkata, inisiatif tersebut juga menjadi wadah penting kepada pemimpin tempatan untuk menyantuni masyarakat khususnya golongan asnaf, mualaf dan mereka yang kurang berkemampuan.
“Saya anggap program ini sebagai jambatan kasih antara pemimpin dan rakyat di samping memperkukuh perpaduan komuniti tanpa mengira latar belakang atau fahaman agama,” ujarnya.
Seorang lagi penduduk Limpasong, Khairunisa Abdullah, 56, pula menyuarakan rasa syukur kerana kerajaan sentiasa memastikan golongan mualaf tidak dipinggirkan termasuk di kawasan luar bandar seperti Batu Danau.
Tambahnya, program ibadah korban yang diadakan setiap tahun menjadi medan penting bagi saudara baharu mendalami ajaran Islam dan mengeratkan ukhwah.-TVS