KUALA LUMPUR, 9 Jun: Syarikat pembinaan dan infrastruktur bangunan dari Sarawak, Hartanah Kenyalang Berhad, buat julung kali disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Sekuriti Malaysia hari ini, dengan penerbitan 620 juta saham biasa.
Pengarah Urusan Hartanah Kenyalang Berhad, Seah Boon Tiat, berkata penyenaraian itu akan memudahkan syarikat tempatan tersebut untuk menender projek-projek berkaitan tenaga hijau di Sarawak.
Jelas beliau, syarikat itu ingin memanfaatkan inisiatif tenaga mampan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak dengan pelbagai perancangan besar yang akan dilaksanakan di wilayah itu.
“Ketika ini, Sarawak mengeluarkan kira-kira 3.5 GigaWatt (GW), dan menjelang 2030, kami menjangkakan angka tersebut akan meningkat kepada 15GW. Jadi, dari situ, banyak faedah yang boleh kami peroleh dengan mengeluarkan tender untuk projek-projek ini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyenaraian IPO di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, selain pembinaan infrastruktur dan bangunan, Boon Tiat menjelaskan bahawa syarikatnya juga sedang melaksanakan tender berkaitan grid air dan bekalan air di Sarawak.
Beliau berkata Kerajaan Sarawak ketika ini telah memperuntukkan kira-kira RM4.6 bilion untuk membina dan menaik taraf projek bekalan air di wilayah tersebut.
“Dari sini, Hartanah Kenyalang akan memperoleh manfaat pada masa akan datang, contohnya projek pemasangan sistem air, tangki air bertingkat, dan loji rawatan air,” katanya.
Sementara itu, beliau memberitahu bahawa Hartanah Kenyalang merancang untuk memanfaatkan dana daripada Tawaran Awam Awal (IPO) yang diraih, berjumlah RM19.3 juta, untuk pembelian jengkaut, perkakasan baharu, dan menaik taraf perisian berkaitan teknologi maklumat.
“Kami juga mula meneroka perkhidmatan reka bentuk dan binaan bagi bangunan dan projek infrastruktur dengan melabur dalam sistem Model Maklumat Bangunan (BIM),” katanya.
Tambahnya, setakat 30 April 2025, Hartanah Kenyalang telah berjaya membuat tender untuk pelbagai projek pembinaan bangunan dan infrastruktur di Bumi Kenyalang dengan kontrak agregat bernilai RM451 juta. – TVS