PHNOM PENH (Kemboja), 9 Jun: Bank Rakyat meneruskan usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) melalui Program Kembara Qurban Kemboja 2025 dengan menyantuni komuniti Islam yang hidup dalam serba kekurangan di atas sampan di Kampung Svay Rolum, Wilayah Kandal sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.
Perjalanan ke kampung terapung itu mengambil masa hampir dua jam menyusuri Sungai Tonle Sap dari jeti Phnom Penh, memperlihatkan pemandangan rumah-rumah kecil terapung yang menjadi tempat tinggal komuniti minoriti ini sejak era pasca-Perang Khmer.

Menurut guru agama tempatan, Mansor Salleh, kehadiran delegasi dari Bank Rakyat amat menyentuh hati penduduk apabila 150 kampit beras seberat 10 kilogram diagihkan kepada 150 keluarga.
“Alhamdulillah, bantuan ini amat bermakna kepada mereka yang rata-ratanya bergantung sepenuhnya kepada hasil tangkapan ikan sebagai sumber rezeki harian.
“Mereka sangat mengharapkan program seperti ini diteruskan setiap tahun untuk membantu mereka keluar daripada kepompong kemiskinan,” katanya ketika ditemui di kampung tersebut malam tadi.
Selain kesempitan hidup, penduduk di Kampung Svay Rolum turut berdepan pelbagai cabaran lain termasuk kekurangan akses pendidikan dan kemudahan pengurusan jenazah.
Kanak-kanak di sini tidak menerima pendidikan formal kerana tiada sekolah kerajaan, manakala satu-satunya guru agama ialah Ketua Kampung sendiri, Khalil Ayub.
Jika berlaku kematian, jenazah terpaksa dibawa sejauh 60 kilometer ke kampung lain disebabkan ketiadaan tanah perkuburan khusus untuk komuniti ini.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Nor Haimee Zakaria yang mengetuai delegasi menyifatkan kunjungan kali ini sebagai satu pengalaman yang membuka mata.
“Ini adalah jemputan Allah SWT untuk kami melihat sendiri betapa sukarnya kehidupan masyarakat perahu di sini.
Kita selalu lihat di televisyen, tetapi apabila berada di sini, rasa insaf dan sedih sangat mendalam. Kami berharap ini bukan kunjungan terakhir.
“Insya-Allah, kami akan terus mencari ruang dan peluang untuk menyumbang keperluan lain kepada masyarakat ini,” ujarnya.

Difahamkan, komuniti Islam di Sungai Tonle Sap ini mula menetap di atas sampan sejak tahun 1970-an selepas berakhirnya Perang Khmer.
Sungai tersebut menjadi tempat perlindungan serta punca rezeki utama mereka sebagai nelayan.
Sehingga hari ini, lebih 100 keluarga masih tinggal di atas sampan dalam keadaan serba kekurangan tanpa akses kepada kemudahan asas seperti air bersih, elektrik dan pendidikan.-TVS