Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Kerajaan Arab Saudi terus memperluas penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) bagi memudahkan urusan jemaah haji

Arab Saudi perluas penggunaan robotik dan AI

ByIzzah Kamilah Yunus

KUCHING, 9 Jun: Kerajaan Arab Saudi terus memperluas penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) bagi memudahkan urusan jemaah haji termasuk melalui pengenalan pelbagai sistem robotik canggih yang berfungsi di Masjidil Haram dan kawasan sekitarnya.

Presiden Umum bagi Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, Sheikh Dr. Abdulrahman Al-Sudais berkata, antara inovasi terkini ialah robot Manarat Al-Haramain yang memberikan akses segera kepada perkhidmatan fatwa dalam pelbagai bahasa kepada jemaah.

“Pendekatan progresif ini menjadikan Masjidil Haram sebagai medan pamer teknologi canggih dunia yang mana robot kini menjadi sebahagian daripada pengalaman ibadah haji, daripada panduan keagamaan, agihan air zamzam, hingga membantu dalam prosedur pembedahan,” katanya menerusi kenyataan.

Robot-robot tersebut dilengkapi keupayaan komunikasi secara lisan dan teks serta menyokong sehingga 15 bahasa sekali gus mempertingkatkan kemudahan untuk jutaan jemaah dari pelbagai latar belakang.

Menurut kenyataan itu lagi, robot perubatan berteknologi tinggi turut diperkenalkan bagi melaksanakan prosedur pembedahan rumit dalam bidang urologi, onkologi, toraks dan gastrointestinal, dengan ketepatan tinggi serta tempoh pemulihan yang lebih singkat.

“Robot ini dilancarkan oleh Menteri Kesihatan Arab Saudi, Fahd Al-Jalajel, sebagai sebahagian daripada komitmen terhadap transformasi kesihatan digital,” jelas kenyataan tersebut.

Selain itu, robot pengagih air zamzam yang diperkenalkan sejak pandemik COVID-19 masih berperanan penting dan mampu mengagihkan 30 botol air zamzam setiap 10 minit dalam satu pusingan.

Dalam kenyataan sama, Kerajaan Arab Saudi turut memaklumkan pelaksanaan rangkaian 5G dan Internet berkelajuan tinggi secara percuma di seluruh kawasan ibadah haji.

Aplikasi Smart Hajj dan sistem pemantauan berasaskan AI turut digunakan bagi mengawal aliran jemaah serta menyediakan maklumat masa nyata, sekali gus meningkatkan keseluruhan pengalaman ibadah jemaah. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan