SIBU, 8 Jun: Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak (YSISS) Cawangan Sibu dijangka mula beroperasi dalam masa terdekat, sebaik sahaja menerima kelulusan keselamatan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, ia dijangka mula beroperasi selewat-lewatnya bulan ini atau bulan hadapan.
Menurutnya, sesi pengambilan pelajar bermula sejak Januari lalu dan semua pelajar Tingkatan 1 telah ditempatkan sementara di YSISS Kuching.
“Pelajar kita telah memulakan sesi persekolahan di YSISS Kuching. Para guru juga ditempatkan di sana. Kita kini hanya menunggu Sijil Perakuan Siap dan Selamat (OP) daripada pihak Bomba sebelum pelajar dipindahkan ke YSISS Sibu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Penyerahan Daging Korban kepada anak-anak yatim di Sekolah Kebangsaan Abang Ali, hari ini.
Dr. Annuar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka menjelaskan, sebaik sahaja proses kelulusan selesai, pelajar akan terus dipindahkan ke kampus YSISS Sibu.
Dalam perkembangan berkaitan, Dr Annuar memaklumkan seramai 116 pelajar terdiri daripada anak yatim dan golongan asnaf dari kawasan DUN Nangka menerima agihan daging korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.
“Kita menyasarkan golongan anak yatim yang tidak menetap di Kompleks PERYATIM dan golongan asnaf yang dikenal pasti menerusi kerjasama ranting-ranting Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sekitar DUN Nangka,” ujarnya.
Sebanyak tiga ekor lembu dikorbankan untuk tujuan tersebut hasil sumbangan orang ramai dan Pusat Khidmat ADUN Nangka. – TVS