KUCHING, 8 Jun: Pasukan SWAT Sarawak Forestry Corporation (SFC) telah digerakkan ke kawasan pantai Pasir Panjang dan Pasir Pandak susulan viral dan aduan orang awam berhubung kehadiran buaya yang dilihat berhampiran kawasan tersebut.
SFC dalam kenyataan berkata, pada malam Jumaat seekor buaya betina dianggarkan sepanjang 3.2 meter telah berjaya ditangkap dan dipindahkan ke lokasi yang lebih sesuai, tindakan ini diambil bagi memastikan keselamatan pengunjung pantai terjamin.
“SFC ingin menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada ketika menjalankan sebarang aktiviti air di kawasan berdekatan muara, sungai dan pesisir pantai terutamanya pada waktu senja dan malam.
“Orang ramai adalah diseru untuk mengelakkan mana-mana kawasan yang telah diletakkan dengan tanda amaran kehadiran buaya,” kata kenyataan itu.
SFC juga mengucapkan penghargaan kepada orang ramai atas kerjasama dan menasihati orang ramai untuk lebih berhati-hati di kawasan tersebut.
“Kehadiran buaya di kawasan tertentu merupakan sebahagian daripada realiti ekologi tempatan yang semakin kerap dikongsi antara manusia dan hidupan liar.
“Justeru itu, penting bagi komuniti setempat untuk memahami corak kehadiran spesies ini dan menyesuaikan tingkah laku serta aktiviti harian dengan persekitaran yang kita kongsi bersama. Dengan saling menghormati ruang hidup, kita mampu mewujudkan keseimbangan antara keselamatan manusia dan kelestarian alam,” ujar kenyataan itu.
SFC akan terus memantau keadaan serta memperkukuh usaha pendidikan dan kesedaran awam berkaitan interaksi manusia dan hidupan liar di Sarawak.-TVS