Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Dato Sri Fatimah Abdullah turut hadir memeriahkan SOPMA Baton Run 2025. Foto UKAS

Sarawak perkasa komuniti pekak melalui pendidikan inklusif

KUCHING, 8 Jun: Kerajaan Sarawak terus memperkasa komuniti pekak menerusi pendekatan inklusif sejak peringkat awal usia termasuk pelaksanaan program pendidikan bahasa isyarat di semua Tadika Sedidik seluruh negeri.

Memetik laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, semua murid dan guru tadika di bawah kementeriannya kini dilatih menggunakan bahasa isyarat asas, termasuk menyanyikan lagu kebangsaan dan negeri dalam bahasa isyarat.

“Inisiatif ini penting untuk meningkatkan kesedaran terhadap budaya dan komuniti pekak dalam kalangan generasi muda,” katanya ketika merasmikan SOPMA Baton Run 2025 anjuran Persatuan Orang Pekak Sarawak (SDDA) di Dataran MBKS, di sini, pada Ahad.

Beliau turut menyifatkan program seperti itu sebagai jambatan untuk merapatkan hubungan antara masyarakat umum dan komuniti pekak yang masih belum difahami sepenuhnya oleh sesetengah pihak.

Fatimah memuji sambutan luar biasa terhadap acara larian tersebut yang mencatat kehadiran melebihi sasaran awal 1,000 peserta.

“Sambutan ini amat membanggakan. Tahniah kepada jawatankuasa penganjur atas kejayaan menganjurkan larian baton ini yang bermula dari Miri, Bintulu, Sibu dan kini tiba di Kuching,” ujarnya.

Beliau turut menyeru peserta agar menjadi duta kecil kepada komuniti pekak dengan menyebarkan maklumat mengenai kemudahan serta sokongan yang disediakan di Sarawak.

“Ini termasuk akses penilaian awal masalah pendengaran di hospital dan pusat Pusat Sehenti Intervensi Awal (OSEIC) serta kewujudan sekolah khas untuk pelajar pekak di peringkat rendah dan menengah,” jelasnya.

Fatimah turut mengumumkan bahawa Sarawak akan menjadi tuan rumah kepada Kejohanan Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) peringkat kebangsaan yang dijadualkan berlangsung pada Oktober ini.

“Tiada siapa akan tercicir. Tiada siapa akan dibiarkan keseorangan,” kata Fatimah.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan