ASAJAYA, 8 Jun: Sebanyak 14 rumah akan dibina semula di kawasan Asajaya di bawah Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) manakala beberapa lagi akan dibaik pulih secara berfasa.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, kelulusan diberikan berdasarkan keutamaan yang ditentukan oleh pejabat daerah khusus untuk golongan termiskin.
“Permohonan tidak diluluskan serentak sebaliknya dinilai mengikut keperluan dan kelayakan. Senarai penerima disediakan oleh pejabat daerah bagi memastikan hanya yang benar-benar layak diberi keutamaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penyerahan Daging Korban Kampung Asajaya Ulu dan Kampung Asajaya Laut 2025, hari ini.
Rubiah turut memaklumkan Sarawak menerima hampir RM107 juta peruntukan bagi pelaksanaan PPRS tahun ini melibatkan pembinaan dan baik pulih rumah di seluruh negeri.
PPRS sebelum ini dikenali sebagai Program Bantuan Rumah (PBR) di bawah Skim Pembangunan Rakyat (SPKR) dan merupakan antara program pembasmian kemiskinan luar bandar yang menyediakan bantuan kediaman kepada golongan miskin dan miskin tegar. – TVS