Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Annuar (tengah) bersama-sama yang lain memotong kek semasa Program Ngabang Gawai 2025 di Rumah Maxwell, Batu 13, Jalan Oya pada Ahad. Foto TVS

Naik taraf rumah panjang DUN Nangka dilaksana berperingkat

SIBU, 8 Jun: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka, Datuk Dr Annuar Rapaee memberi jaminan bahawa usaha menaik taraf rumah panjang di kawasannya akan diteruskan secara berperingkat meskipun berdepan kekangan peruntukan tahunan.

Dr Annuar yang juga Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak berkata, kesemua 34 rumah panjang di DUN Nangka akan dibaik pulih khususnya pada bahagian ruai dan tanjuk iaitu ruang penting dalam kehidupan masyarakat rumah panjang.

“Saya akan cuba ubah suai ruai dan tanjuk di kesemua rumah panjang, tetapi ia tidak dapat dilakukan serentak kerana peruntukan tahunan saya hanya RM5 juta dan perlu diagihkan ke seluruh kawasan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Program Ngabang Gawai 2025 di Rumah Maxwell, Batu 13, Jalan Oya, hari ini.

Menurutnya, peruntukan sedia ada perlu dibahagikan secara teliti agar setiap komuniti di kawasannya menerima manfaat sewajarnya.

Dr Annuar turut memaklumkan masih terdapat tiga rumah panjang yang belum menerima bekalan air bersih sepenuhnya iaitu Rumah Bongkong, Rumah Kawau dan Rumah Johnny.

“Ketiga-tiga rumah ini terletak agak jauh di pedalaman. Namun, kita akan terus berusaha menyediakan kemudahan asas secara berperingkat, bergantung kepada kemampuan kewangan dan peruntukan semasa,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sambutan Hari Gawai bukan sekadar tradisi masyarakat Dayak tetapi simbol perpaduan rakyat Sarawak yang hidup dalam masyarakat majmuk.

“Kita mesti pertahankan keharmonian agar dapat hidup bersama. Saya tidak menganggap orang Iban, Bidayuh dan Orang Ulu sebagai orang lain. Kita hanya berbeza budaya tetapi dari segi hati, kita satu untuk Sarawak,” jelasnya.

Beliau turut mengingatkan rakyat agar tidak mudah terpengaruh dengan unsur luar yang boleh menjejaskan perpaduan dan keharmonian wilayah ini.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan