PAPAR, 8 Jun: Seorang lelaki berusia 42 tahun maut selepas terkena renjatan elektrik ketika memetik buah mangga menggunakan sebatang besi di Kampung Bambangan, petang tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, mangsa dipercayai memanjat pokok dan menggunakan sebatang penjolok besi untuk menjatuhkan buah mangga sebelum secara tidak sengaja menyentuh kabel elektrik berhampiran.
Menurutnya, akibat kejadian tersebut, mangsa tidak sedarkan diri di atas pokok.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya
Beliau berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar menerima panggilan kecemasan pada jam 3.01 petang dan tiba di lokasi kejadian kira-kira tujuh minit kemudian.
“Operasi menyelamat dijalankan dengan kerjasama Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) bagi memutuskan bekalan elektrik sebelum pasukan bomba menurunkan mangsa menggunakan tangga dan tali penyelamat,” ujarnya.-TVS