KUCHING, 8 Jun: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dato Dennis Ngau menegaskan bahawa dakwaan terhadap sebuah syarikat pembalakan di kawasan Long Tepen yang dituduh menjejaskan hak komuniti Penan adalah tidak adil dan tidak menggambarkan situasi sebenar di lapangan.
Beliau berkata, syarikat berkenaan telah banyak menyumbang kepada pembangunan infrastruktur dan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan khususnya komuniti Penan yang tinggal di kawasan pedalaman.
“Sebenarnya, jika seseorang tidak tahu apa yang berlaku di tanah, seolah-olah komuniti Penan ini diperbodohkan. Tetapi itu bukan kisah sebenar. Ini kawasan saya. Saya berterima kasih kepada syarikat ini kerana membuka jalan dari Long Tepen ke kampung yang sebelum ini hanya boleh diakses melalui sungai,” katanya.
Menurutnya, selain membuka jalan, syarikat berkenaan juga menyediakan peluang pekerjaan dan melaksanakan pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) termasuk menyelenggara jalan ke kampung sejauh berpuluh kilometer.
Dennis turut menjelaskan bahawa isu jalan balak yang semakin terjejas berpunca daripada penutupan operasi syarikat pembalakan akibat tekanan terhadap industri pembalakan dan kempen antarabangsa seperti “Jangan Beli Kayu Sarawak”.
Mengulas mengenai protes komuniti terhadap aktiviti tanaman semula hutan oleh syarikat terbabit, Dennis berkata, tindakan itu agak mengejutkan kerana projek tersebut berjalan sekian lama tanpa bantahan.
“Saya sendiri telah melalui kawasan itu bertahun-tahun dahulu, tidak ada masalah. Tiba-tiba sekarang, mereka mula memprotes. Padahal kawasan itu adalah untuk penanaman semula hutan, dan ia dilaksanakan atas arahan Kerajaan Sarawak bagi mematuhi piawaian antarabangsa,” ujarnya.-TVS