KOTA KINABALU, 8 Jun: Seorang lelaki berusia 26 tahun cedera selepas kenderaan yang dipandunya terbabas sendiri dan terbalik dalam kejadian di Inanam Taipan, lewat malam tadi.
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, panggilan kecemasan diterima pada jam 11.43 malam sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas digerakkan ke lokasi sejauh lima kilometer dan tiba tujuh minit kemudian.
Mangsa diberi rawatan awal oleh pasukan Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum diserahkan kepada ambulans untuk dihantar ke hospital bagi rawatan lanjut.
Pasukan bomba turut melakukan kerja-kerja pembersihan tumpahan minyak menggunakan satu aliran hose reel bagi memastikan kawasan selamat daripada risiko bahaya.
Operasi diketuai PBK I Mohamad Faizal Alias dan melibatkan lapan anggota serta dua aset – satu jentera FRT dan satu unit EMRS.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.17 tengah malam selepas kawasan disahkan selamat. – TVS