SARIBAS, 8 Jun: Sebanyak 33 ekor lembu dikorbankan sempena sambutan Hari Raya Aidiladha 2025 di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Saribas.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Mohammad Razi Sitam berkata, agihan daging korban dilaksanakan menerusi 22 Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) untuk disalurkan kepada golongan asnaf serta penduduk setempat yang memerlukan.
“Sebanyak 33 ekor lembu dikorbankan di kawasan DUN Saribas tahun ini bagi menyantuni golongan asnaf dan masyarakat setempat yang layak,” katanya ketika ditemui selepas meninjau aktiviti penyembelihan dan agihan daging korban di beberapa lokasi di Saribas, hari ini.
Mengulas mengenai penglibatan badan bukan kerajaan (NGO) dalam pelaksanaan ibadah korban, beliau menyifatkan ia sebagai perkembangan positif yang membantu menyemarakkan sambutan Aidiladha di kampung-kampung luar bandar.
“Kerjasama seperti ini akan terus dipertingkatkan pada masa akan datang bagi memeriahkan sambutan Hari Raya Aidiladha serta menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat secara menyeluruh,” ujarnya.
Terdahulu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas turut meninjau pelaksanaan ibadah korban di Kampung Serabang dan Kampung Serembang. – TVS