KUCHING, 8 Jun: Semangat kebersamaan dan nilai keikhlasan jelas terpancar menerusi penganjuran Majlis Pengagihan Daging Korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha 1446H yang berlangsung meriah di Jeti Nelayan Darat Lubok Buaya di sini, semalam.
Ahli Dewan Negara, Senator Dato Ahmad Ibrahim dalam kenyataan berkata, ibadah korban bukan sekadar ritual tahunan sebaliknya satu peringatan penting tentang nilai pengorbanan, keikhlasan dan kebersamaan dalam membina masyarakat yang harmoni dan sejahtera.
Majlis tersebut yang disempurnakan oleh beliau turut menyantuni penduduk Kampung Paya Mebi serta ahli Persatuan Jeti Nelayan Darat Lubok Buaya dengan menyerahkan sendiri daging korban kepada para penerima.
“Aidiladha mengajar kita untuk saling membantu, menyantuni yang memerlukan, dan memperkukuhkan tali silaturahim sesama komuniti.
“Saya amat berbangga melihat semangat gotong-royong yang ditunjukkan oleh penduduk dan persatuan nelayan di sini,” menurutnya memetik kenyataan itu hari ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua penyumbang dan pihak yang menjayakan program ini serta berharap agar semangat kerjasama seperti ini akan terus subur khususnya di kawasan luar bandar dan pesisir.
Majlis turut diserikan dengan jamuan ringan dan penyampaian daging korban secara berperingkat kepada para penerima dalam suasana penuh muhibah.
Turut memeriahkan majlis ialah Ahli Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Kaunselor Shamsudin Unai, Ketua Kampung Paya, Mebi Ismail Tangok serta pemimpin masyarakat dan wakil-wakil persatuan setempat. – TVS