PARIS, 8 Jun: Coco Gauff merangkul gelaran Terbuka Perancis pertamanya selepas menewaskan Aryna Sabalenka dalam perlawanan akhir yang sengit dan mendebarkan, sekali gus dinobatkan sebagai ratu baharu gelanggang tanah liat, lapor PA Media/dpa.
Perlawanan maraton yang memukau antara dua pemain terbaik dunia itu memihak kepada pilihan kedua kejohanan, dengan keputusan 6-7 (5-7), 6-2, 6-4.
Keadaan berangin di Paris menyumbang kepada keseluruhan 100 kesilapan sendiri dan 15 kali servis dipatahkan. Namun, ia tidak menjejaskan aksi mengagumkan, pukulan bertenaga dan drama bertaraf tinggi yang dipamerkan kedua-dua pemain.
Ini merupakan kali pertama dua pemain pilihan utama wanita bertemu di pentas akhir Roland Garros sejak Serena Williams menewaskan Maria Sharapova pada 2013. – TVS