GEDONG, 8 Jun: Sempena sambutan Hari Raya Aidiladha 1446 Hijrah, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini menyerahkan sumbangan lembu dan daging korban kepada penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong.
Majlis penyerahan yang berlangsung di perkarangan Masjid Darul Al-Kawthar, Gedong disaksikan oleh penduduk kampung dan pemimpin tempatan dalam suasana penuh harmoni.
Sebanyak 24 ekor lembu korban disumbangkan tahun ini untuk diagihkan kepada golongan asnaf, mualaf dan keluarga kurang berkemampuan.
Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, ADUN Simunjan, Awla Dris serta Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee.
Proses edaran daging korban dilakukan secara teratur bagi mengelakkan pembaziran dan memastikan bantuan sampai kepada yang layak.
Penduduk yang ditemui menyampaikan rasa syukur atas keprihatinan Kerajaan Sarawak.-TVS