Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Foto AFP

Tiada Haji Tanpa Permit: Visi Arab Saudi untuk ibadah yang selamat dan lancar

ByBernama

MINA (Arab Saudi), 6 Jun: Komitmen Arab Saudi yang tidak berbelah bahagi dalam memastikan ibadah haji yang selamat dan teratur untuk setiap jemaah diterjemahkan menerusi kempen kesedaran dan pematuhan tahunan bertema “Tiada Haji Tanpa Permit” yang menjadi tunjang visi nasional kerajaan bagi kejayaan musim haji.

Kempen yang menyasarkan jemaah dalam dan luar negara itu membuktikan kesungguhan pimpinan Arab Saudi dalam menyediakan perkhidmatan komprehensif, keselamatan, keselesaan dan ketenangan, sambil mencegah kekacauan dan pelanggaran yang sebelum ini sering mengganggu kelancaran ibadah.

Menurut Agensi Berita Saudi (SPA), “Tiada Haji Tanpa Permit” secara langsung menangani isu seperti jemaah tanpa kebenaran, kesesakan jalan raya dan kempen haji palsu yang mendedahkan jemaah kepada keadaan yang sukar.

Bagi musim haji 1446 Hijrah, kempen itu menggariskan ketegasan kerajaan untuk memastikan kejayaan ibadah adalah tanggungjawab bersama negara, keselamatan dan pentadbiran.

Langkah-langkah yang dilaksanakan termasuk mesej kesedaran secara proaktif, kawalan keselamatan diperketat di pintu masuk ke Makkah dan tapak suci, penggunaan teknologi pemantauan terkini serta pelaksanaan hukuman segera terhadap pelanggaran.

Hari Arafah tahun ini secara khusus menyerlahkan kejayaan kempen itu, menurut SPA.

Jemaah mematuhi arahan dan tiba tepat pada masanya di khemah masing-masing, sekali gus menghasilkan aliran trafik yang lancar di sekitar Arafah dan Masjid Namirah.

Suasana tenang dan keyakinan jelas dirasai apabila jemaah menunaikan ibadah haji yang penting dalam persekitaran yang selamat dan disokong oleh pelbagai perkhidmatan kerajaan.

Setiap jemaah yang sah diberikan ruang yang lengkap di tapak suci, memastikan pengalaman haji yang tersusun dengan keutamaan kepada kesihatan dan keperluan perkhidmatan, termasuk penginapan, makanan, rawatan kesihatan dan pengangkutan moden, selain aplikasi pintar yang memperkukuh usaha kesedaran.

Usaha bersepadu merentas sektor pula memastikan pergerakan jemaah antara tapak suci berjalan lancar melalui bas dan tren.

Kad Nusuk serta sistem pemantauan teknikal moden memainkan peranan penting dalam mengawal selia perjalanan haji dan memastikan pematuhan. Kempen kesedaran yang lebih meluas serta penyelarasan antara agensi terus memperkukuh pematuhan jemaah terhadap panduan yang ditetapkan.

Inisiatif Laluan Makkah oleh Kementerian Dalam Negeri, yang kini memasuki tahun ketujuh di 11 lapangan terbang antarabangsa, terus melancarkan proses ketibaan lebih sejuta jemaah sejak 2017.

Kejayaan musim haji tahun ini secara langsung mencerminkan matlamat utama Visi 2030 Arab Saudi untuk memperkasa perkhidmatan haji dan umrah dengan menyediakan pengalaman ibadah yang selamat dan lancar kepada setiap jemaah. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan