KUCHING, 7 Jun: Kaum Rara sebuah komuniti etnik terpencil yang eksklusif dan hanya dapat ditemui di Lundu disantuni menerusi Program Rindang Sayang: From Perak to Kenyalang.
Exco Penginapan dan Kemasyarakatan Kolej Ungku Omar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam kenyataan berkata, program yang dijalankan di Kampung Pasir Tengah itu melibatkan ahli sukarelawan yang tampil memberikan bantuan.
“Dengan semangat kesukarelawanan yang tinggi, para peserta menjalankan pelbagai aktiviti yang bertujuan memupuk perpaduan, memperkasa komuniti dan menghidupkan semula nilai-nilai tradisional masyarakat tempatan.
“Ia melibatkan agihan bantuan keperluan harian sumbangan yang berbentuk barangan asas kepada komuniti Rara untuk meringankan beban mereka,” katanya dalam kenyataan semalam.
Ujar kenyataan itu lagi, peserta turut melibatkan diri dalam aktiviti sukan rakyat sebagai pengenalan dan penglibatan dalam permainan tradisional kaum Rara sebagai langkah memartabatkan khazanah budaya.
Turut diadakan adalah aktiviti gotong-royong komuniti seperti mengecat balai, melukis mural dan memperindahkan lagi kawasan sekitar bagi mewujudkan suasana perkampungan yang lebih harmoni dan kondusif. – TVS