MIRI, 7 Jun: Semangat perpaduan dan silaturahim terus diperkukuh apabila komuniti di kawasan Beluru berpeluang meraikan sambutan Rumah Terbuka Gawai Dayak 2025 bersama Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Dr Penguang Manggil.
Berbeza daripada tahun sebelumnya, beliau memilih untuk menganjurkan rumah terbuka tahun ini di Dewan Masyarakat Beluru berbanding lokasi tradisi di rumah panjang beliau di Entulang.
Langkah ini diambil bagi membolehkan penyertaan yang lebih menyeluruh melibatkan masyarakat dari seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Marudi.
“Tahun ini saya ingin lakukan kelainan. Kalau sebelum ini saya adakan Rumah Terbuka Gawai di rumah panjang saya, tapi kali ini saya pilih Dewan Masyarakat Beluru supaya lebih ramai penduduk dari kawasan sekitar dapat turut serta,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Hari Gawai Dayak 2025 di Dewan Masyarakat Beluru, di sini, hari ini.
Sambutan kali ini disifatkan amat meriah dengan kehadiran para tetamu bukan sahaja dari Marudi, tetapi juga dari kawasan Miri dan Subis yang mencerminkan semangat kekeluargaan yang utuh merentas daerah.
“Saya sangat berpuas hati dengan sambutan hari ini. Ia memberi semangat untuk menganjurkan acara yang lebih besar dan inklusif pada masa akan datang,” katanya lagi.
Majlis tersebut menyaksikan kehadiran lebih 1,500 pengunjung yang turut disajikan dengan pelbagai juadah tradisional serta persembahan kebudayaan. – TVS