PUTRAJAYA, 7 Jun: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kesediaan Malaysia untuk bersama-sama menangani isu yang timbul di sempadan Thailand dan Kemboja.
Beliau berkata, kedua-dua negara telah bersetuju untuk mengadakan rundingan secara aman pada 14 Jun ini.
“Mereka telahpun mengambil beberapa langkah, terutama sekali rundingan berkaitan sempadan, dan kita akan memberi kerjasama di mana perlu,” katanya selepas menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Putra, hari ini.
Pada 28 Mei lalu, pasukan tentera Thailand dan Kemboja terlibat dalam pertempuran singkat di wilayah Ubon Ratchathani, Thailand dan wilayah Preah Vihear, Kemboja, yang mengorbankan seorang askar Kemboja.
Kemboja kemudiannya mengumumkan hasrat untuk membawa pertikaian sempadan itu ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Thailand pula dilaporkan mengulangi komitmennya untuk menyelesaikan isu sempadan dengan Kemboja melalui usaha damai, berdasarkan undang-undang antarabangsa serta perjanjian dan memorandum berkaitan.
Susulan ketegangan itu, satu rundingan dijadualkan berlangsung pada 14 Jun ini di Phnom Penh melalui platform Suruhanjaya Sempadan Bersama.
Dalam perkembangan lain, Anwar turut memberi maklum balas ringkas yang positif berkenaan hasrat Pakistan untuk menjadi rakan dialog penuh ASEAN.
“Kita akan bawa hal ini ke persidangan dan perbincangan dengan pemimpin-pemimpin ASEAN,” ujarnya. – TVS