KUCHING, 7 Jun: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyeru umat Islam agar menghayati semangat pengorbanan, ketaatan dan keikhlasan yang menjadi intipati sambutan Hari Raya Aidiladha.
Beliau menegaskan kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail perlu difahami sebagai lebih daripada sekadar sejarah, ia adalah pedoman penting dalam membentuk jati diri Muslim yang berpegang pada nilai takwa, reda dan keutuhan iman.
Menurut beliau, pengorbanan tidak hanya terbatas pada penyembelihan haiwan korban, tetapi merangkumi aspek yang lebih luas termasuk mendahulukan kebenaran, memelihara silaturahim dan menyemai nilai ihsan dalam masyarakat.
Tun Wan Junaidi juga menyeru agar Aidiladha dijadikan titik permulaan untuk memperkukuh perpaduan ummah dan memperbaiki diri ke arah kehidupan yang lebih diberkati dan sejahtera.
Dalam kesempatan itu, Tun Wan Junaidi dan isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi turut merakamkan ucapan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh umat Islam, khususnya rakyat Sarawak, di mana jua mereka berada.
Mereka mendoakan agar sambutan tahun ini diraikan dalam suasana penuh kesyukuran, keharmonian dan kasih sayang sesama insan.
Tun dan isteri turut menitipkan doa khusus buat para jemaah haji dari Sarawak yang kini berada di Tanah Suci menunaikan rukun Islam kelima.
“Doa kami sentiasa mengiringi langkah para jemaah. Semoga dikurniakan kesihatan, kekuatan dan haji yang mabrur, Insya-Allah,” katanya dalam perutusan sempena Aidiladha 1446 Hijrah.- TVS