LIMBANG, 7 Jun: Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Hasbi Habibollah menyumbangkan sebanyak tujuh ekor kerbau yang bakal dikorbankan dan diagih-agihkan kepada beberapa buah masjid dan surau di kawasan Parlimen Limbang sempena sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini.
Hasbi berharap melalui sumbangan itu, masyarakat Islam dapat menjalankan ibadah korban dengan semangat pengorbanan sebagaimana yang dituntut Islam.
“Hari ini untuk Parlimen Limbang kita bersama dengan seluruh rakyat Malaysia meraikan Hari Raya Aidiladha dan kita di Limbang turut melaksana ibadah korban yang dilaksanakan setiap tahun.
“Bagi Pusat Khidmat Wakil Rakyat P221 kita ada menyumbangkan tujuh ekor kerbau iaitu di Kampung Bunga Raya, Kampung Pabahanan,Kampung Sengkarai dan Lupak Rangas serta saudara baharu yang dikelolai oleh HIKMAH,” katanya ketika ditemui media pada Program Sambutan Aidiladha di Dewan Kampung Bunga Raya pada Sabtu.
Ahli Parlimen Limbang itu berkata, selain masjid dan surau beliau turut menyumbangkan seekor kerbau untuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Limbang untuk menjalankan ibadah korban tahun ini.
Beliau berharap umat Islam di negeri ini dapat menghayati semangat pengorbanan, keikhlasan dan ketaatan kepada Allah SWT sempena sambutan Hari Raya Aidiladha 1446 Hijrah. – TVS