Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Ahli kariah berganding bahu semasa melakukan tugas-tugas melapah dan memotong daging korban sebelum diagihkan kepada orang ramai pada majlis sembelihan binatang qurban di pekarangan Surau Al-Mahabbah Desa Indah, hari ini. Foto Bernama

Dua jam selesai korban 45 lembu, kambing

ByBernama

NILAI, 7 Jun: Kerjasama erat dan penglibatan aktif komuniti, termasuk ahli kariah Surau Al-Mahabbah, Taman Desa Indah di sini, memainkan peranan penting dalam memastikan pelaksanaan ibadah korban tahun ini melibatkan 45 ternakan berjalan lancar.

Pengerusi Surau Al-Mahabbah Mohd Erwan Tahir, 42, berkata semangat dan komitmen hampir 500 penduduk di sini membolehkan ibadah korban melibatkan 31 lembu dan 14 ekor kambing diselesaikan hanya dalam tempoh dua jam, bermula 8.30 pagi tadi.

“Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Sejak empat tahun lepas, penyertaan amat menggalakkan, kami menguruskan lebih 30 ternakan korban, dan tahun lepas mencatat jumlah tertinggi, iaitu 53 ekor.

“Tahun ini, kami hadkan kepada sekitar 45 ekor sahaja dan penyertaan ditutup dua minggu sebelum Aidiladha bagi memastikan kelancaran urusan. Proses korban hari ini diketuai lima penyembelih bertauliah termasuk saya,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata dalam tempoh dua jam, kesemua ternakan telah disembelih sebelum kerja-kerja menyiat, melapah dan memotong dilakukan secara gotong-royong.

Mohd Erwan berkata kelainan pada tahun ini adalah penglibatan kanak-kanak lelaki seawal usia lapan tahun hingga 15 tahun, bertujuan memberikan pendedahan tentang kefahaman sebenar ibadah berkenaan.

“Tahun ini, kanak-kanak membantu dalam urusan penyembelihan kambing, mereka menumbangkan dan memegang haiwan itu. Kami mahu mendidik mereka supaya mengenali ibadah korban sejak kecil, berani memegang haiwan dan tidak takut melihat darah.

“Remaja berusia 17 tahun ke atas turut aktif membantu melapah dan memotong daging lembu. Hampir setiap tahun mereka bersama-sama turun padang,” katanya.

Sementara itu, seorang peserta cilik, Muhammad Eiman Jibriel Mohd Erwan, 9, berasa teruja kerana dapat membantu bapanya dan rakan sebaya dalam pelaksanaan korban.

“Hari ini saya tolong tumbangkan lima ekor kambing. Kami diajar cara yang betul untuk tumbangkan dan tahan kaki kambing supaya tidak terlepas,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan