SHAH ALAM, 6 Jun: Satu sindiket pengedaran dadah pelbagai jenis berjaya ditumpaskan menerusi Ops Alstonia hasil kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan JSJN Kontinjen Selangor.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, operasi terbabit berjaya menahanan sembilan individu termasuk seorang warga asing dan merampas 37.51 kilogram dadah serta 3,000 mililiter jus minuman disyaki mengandungi dadah.
“Pasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Selangor berjaya menumpaskan satu lagi sindiket pengedaran dadah yang beroperasi aktif di Kuala Lumpur dan sekitar Selangor.
“Beberapa siri serbuan telah dijalankan pada 3 Jun lalu, dan (PDRM) berjaya menahan tujuh lelaki tempatan serta dua wanita, seorang warga tempatan dan seorang warga asing,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Selangor, pada Jumaat.
Menurutnya, hasil serbuan di beberapa lokasi berjaya merampas pelbagai jenis dadah termasuk serbuk MDMA, serbuk ekstasi, ketamin, pil ekstasi, erimin 5, jus minuman serta katrij vape yang disyaki mengandungi dadah, bernilai RM5.11 juta.
“Analisa penggunaan dadah keseluruhan dadah pelbagai jenis yang dirampas kali ini boleh dibekalkan kepada 43,507 orang pengguna dalam masa sehari,” jelasnya.
Pihak polis juga menyita harta berjumlah RM341 ribu di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1998, berupa wang tunai dari pelbagai negara, lima buah kenderaan, barangan kemas serta beg tangan dan jam tangan berjenama.
Kesemua suspek berusia dalam lingkungan 24 hingga 38 tahun direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika disabitkan kesalahan, akan dijatuhi hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan. – TVS