KOTA KINABALU, 5 Jun: Seorang wanita berusia 28 tahun cedera selepas kereta dinaikinya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah bas mini di jejambat Jalan Kepayan berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) hari ini.
Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam kenyataan memaklumkan kemalangan membabitkan sebuah Proton Persona dan bas mini itu berlaku sekitar jam 7:52 pagi.
Mangsa wanita yang tersepit dalam kereta berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba sebelum diserahkan kepada ambulans untuk rawatan lanjut di hospital.
“Dua lagi mangsa, seorang lelaki berusia 30 tahun yang turut menaiki Proton Persona, serta pemandu bas mini berusia 56 tahun tidak mengalami kecederaan,” kata kenyataan itu.
Operasi disertai 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu.