Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Dasar pentadbiran Trump untuk membatalkan visa pelajar China dalam bidang STEM yang dianggap sensitif mengancam masa depan akademik sekurang-kurangnya 112,049 individu - kira-kira 40.4 peratus daripada keseluruhan pelajar China di Amerika Syarikat (AS). Foto fail AFP

Tindakan tegas visa AS jejaskan hampir separuh pelajar China

ByBernama

MOSCOW, 5 Jun: Dasar pentadbiran Trump untuk membatalkan visa pelajar China dalam bidang STEM yang dianggap sensitif mengancam masa depan akademik sekurang-kurangnya 112,049 individu – kira-kira 40.4 peratus daripada keseluruhan pelajar China di Amerika Syarikat (AS), menurut analisis RIA Novosti berdasarkan data Open Doors oleh Institut Pendidikan Antarabangsa (IIE).

Langkah ini berisiko mengganggu pengajian pelajar dan menambah ketegangan dalam hubungan AS-China.

Jabatan Negara AS pada 28 Mei mengumumkan rancangan untuk membatalkan visa pelajar China dalam bidang kritikal serta mereka yang dikaitkan dengan Parti Komunis China (CCP), selain mengetatkan saringan permohonan visa baharu dari China dan Hong Kong.

Menurut dataset Open Doors yang diterbitkan IIE, dasar baharu AS ini berpotensi menjejaskan hala tuju akademik dan profesional kira-kira 112,049 pelajar, mewakili sekitar 40.4 peratus daripada 277,398 pelajar China yang mendaftar di institusi pengajian tinggi AS bagi tahun akademik 2023/24.

Daripada jumlah itu, sekitar 23.3 peratus (kira-kira 64,614 pelajar) mengikuti bidang Matematik dan Sains Komputer, manakala 17.1 peratus (kira-kira 47,435 pelajar) dalam bidang Kejuruteraan. Bidang ini dikenal pasti sebagai “kritikal” berdasarkan kenyataan kerajaan AS yang menyenaraikan kecerdasan buatan, pengkomputeran kuantum, semikonduktor, aeroangkasa dan robotik sebagai keutamaan keselamatan negara.

Anggaran ini dibuat berdasarkan andaian bahawa semua pelajar dalam bidang tersebut berkemungkinan terjejas, meskipun pelaksanaan dasar mungkin memberi keutamaan kepada pelajar siswazah atau mereka yang mempunyai kaitan tertentu.

Di bawah undang-undang imigresen AS, visa pelajar F-1 yang dibatalkan menghalang kemasukan semula ke negara itu, bermakna pelajar yang keluar dari AS – contohnya untuk pulang bercuti atau menghadiri persidangan – mungkin tidak dapat kembali bagi meneruskan pengajian. Walaupun mereka boleh kekal dalam negara berdasarkan borang I-94 yang biasanya sejajar dengan tempoh pengajian, pembatalan visa boleh menyebabkan mereka terkandas di luar negara atau memaksa mereka menyambung pengajian di China, Eropah atau negara lain.

Jumlah pelajar China di universiti AS meningkat daripada 127,628 pada 2009/10 kepada kemuncak 372,532 pada 2019/20, sebelum menurun kepada 277,398 pada 2023/24, menurut data Open Doors.

Dalam tempoh itu, berlaku perubahan ketara ke arah bidang STEM – pendaftaran dalam bidang Matematik dan Sains Komputer meningkat daripada 10.7 peratus pada 2009/10 kepada 23.3 peratus pada 2023/24, manakala Kejuruteraan naik daripada 17.5 peratus kepada paras tertinggi 19.7 peratus pada 2014/15 sebelum menyusut sedikit kepada 17.1 peratus pada 2023/24.

Trend ini mencerminkan permintaan global yang semakin meningkat terhadap kemahiran STEM, terutamanya dalam bidang kecerdasan buatan, pengkomputeran kuantum dan aeroangkasa, selain penekanan China terhadap kemajuan teknologi – mendorong lebih ramai pelajar menyertai bidang ini berbanding era terdahulu apabila bidang Perniagaan dan Pengurusan mendominasi pada kadar 24.3 peratus pada 2009/10 sebelum menurun kepada 12.7 peratus pada 2023/24.

Selain gangguan akademik, dasar baharu ini dijangka memburukkan lagi ketegangan AS-China memandangkan pelajar yang terjejas bukan sahaja menghadapi cabaran logistik, malah berdepan stigma sebagai ancaman keselamatan. Laporan media sebelum ini menunjukkan penolakan dan pembatalan visa telah membawa kepada sesi soal siasat di sempadan AS, dengan beberapa pelajar disoal selama berjam-jam tentang penyelidikan dan kaitan mereka.

Walaupun dasar baharu itu turut menyasarkan pelajar China yang mempunyai kaitan dengan Parti Komunis China, pembuktian kaitan sebegitu adalah rumit kerana status keahlian parti biasanya tidak didedahkan secara terbuka – terutamanya bagi pelajar tanpa hubungan langsung dengan tentera atau institusi negara China.

Oleh itu, penekanan terhadap bidang kritikal menjadi mekanisme penguatkuasaan yang lebih luas dan mudah, meliputi sebahagian besar daripada 112,049 pelajar dalam bidang tersebut, termasuk pelajar sarjana muda dalam program komputer atau kejuruteraan umum yang tiada kaitan dengan CCP.

Pelajar antarabangsa menyumbang lebih US$40 bilion setiap tahun kepada ekonomi AS, menurut NAFSA: Persatuan Pendidik Antarabangsa, menjadikan universiti – terutamanya yang mempunyai jumlah besar pelajar China – berisiko menghadapi tekanan kewangan apabila dasar baharu ini menjejaskan permohonan dan kemajuan akademik pelajar. -TVS

Berita Berkaitan

No data was found

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan

No data was found