Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Joniston (empat dari kiri) dan Dr. Shuhadah (tiga dari kiri) bersama pegawai Jabatan Perikanan serta pemimpin komuniti Kampung Romokon melepaskan benih ikan ke dalam Sungai Taaran sebagai simbol pelancaran sistem tagal. Foto Ihsan Pejabat Adun Kiulu

Tagal tradisional teras ekopelancongan Kiulu

ByTVS

TUARAN, 5 Jun: Kerajaan Negeri Sabah melalui inisiatif pelancongan lestari kini menumpukan usaha memperkukuh pelancongan perikanan berasaskan sistem tagal tradisional di Kiulu.

Projek ini bertujuan memelihara ekosistem sungai serta meningkatkan kesejahteraan ekonomi komuniti luar bandar melalui pembangunan produk pelancongan yang berteraskan kelestarian alam dan budaya tempatan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai merangkap Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar berkata, kini masa terbaik untuk memperkukuh pelancongan perikanan lestari sebagai sebahagian daripada usaha mempromosikan pengalaman komuniti luar bandar yang mesra alam.

“Kita bukan mengejar pelancongan besar-besaran. Apa yang kita mahukan ialah pengalaman berskala kecil yang bermakna – menghubungkan pelawat dengan alam dan budaya, sambil memberi manfaat langsung kepada komuniti,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan sistem tagal tradisional di Sungai Taaran, Kampung Romokon yang terletak jauh di pedalaman, hasil inisiatif komuniti dengan sokongan Jabatan Perikanan Sabah, pada Rabu.

Sistem tagal, iaitu kaedah pemuliharaan sungai secara tradisional dan dikuatkuasa oleh komuniti, telah lama diamalkan di Kiulu. Dalam sistem ini, penduduk kampung bekerjasama melindungi kawasan sungai dengan melarang aktiviti menangkap ikan dalam tempoh tertentu bagi membolehkan populasi ikan membiak semula.

Menurut Joniston, potensi sistem ini sudah pun terbukti di Kiulu apabila lokasi-lokasi sungai yang dipelihara menarik perhatian pelancong sejak beberapa tahun lalu.

“Apa yang diperlukan sekarang ialah struktur dan sokongan yang lebih baik bagi mengubah usaha sedia ada kepada produk pelancongan lestari,” katanya.

Beliau berkata, komuniti Kiulu telah lama memainkan peranan dalam melindungi sungai serta menyediakan pengalaman asas kepada pelancong seperti aktiviti memberi makan ikan dan lawatan berpandu.

Langkah seterusnya, jelas beliau, adalah memperkukuh usaha tersebut dengan naratif yang lebih baik, pakej pelawat yang tersusun, serta penyelarasan yang diketuai komuniti – demi membentuk model pelancongan lestari yang memberi nilai ekonomi lebih besar kepada penduduk.

Joniston turut memaklumkan bahawa kementeriannya melalui Lembaga Pelancongan Sabah sedang bekerjasama rapat dengan Kementerian Pembangunan Luar Bandar serta Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) dalam menyelaraskan pelancongan luar bandar dengan pembangunan komuniti, keperluan asas infrastruktur dan matlamat alam sekitar.

“Tiga kementerian ini saling melengkapi. Bila kita bercakap tentang pelancongan perikanan atau pelancongan pertanian, agensi-agensi di bawah MAFFI dan pembangunan luar bandar memainkan peranan penting dari segi sokongan, infrastruktur dan kepakaran teknikal,” ujar beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah.

Beliau mencadangkan supaya beberapa lokasi tagal terpilih di Kiulu dikenal pasti untuk dibangunkan sebagai projek perintis ekopelancongan yang dikendalikan koperasi kampung serta belia tempatan.

Tumpuan utama, katanya, ialah membina model pelancongan yang memperkasa pendidikan alam sekitar, mempromosi apresiasi budaya dan memberi manfaat sebenar kepada komuniti. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan