SIBU, 5 Jun 2025: Tindakan pantas pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran yang melibatkan sebuah rumah teres dua tingkat jenis berkembar di Jalan Hua Kiew, di sini awal pagi tadi.
Menurut Ketua Zon 4 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sibu, Andy Alie, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.45 pagi sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral digerakkan ke lokasi kejadian satu minit kemudian.
“Kebakaran melibatkan rumah separa kekal dengan keluasan dianggarkan 80 x 30 kaki persegi.
“Api berjaya dikawal dalam tempoh kira-kira 13 minit selepas operasi dimulakan, iaitu pada jam 6.58 pagi dan padam sepenuhnya pada jam 8.05 pagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Andy berkata, operasi pemadaman diketuai oleh PBK I Omar Ali Saifuddin Haji Enton dengan kekuatan 10 anggota dari BBP Sibu Sentral dan bantuan pasukan dari BBP Sungai Merah.
“Pasukan pemadam melaksanakan teknik offensif dan defensif menggunakan dua aliran salur bantu mula di bahagian depan dan sisi rumah, serta satu aliran sepanjang 200 kaki dari pili bomba berdekatan bagi memadam kebakaran di tingkat atas,” jelas beliau.
Kebakaran tersebut melibatkan dua lot rumah bernombor 58C dan 58D, termasuk beberapa bilik sewa.
Punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan forensik Bomba Zon 4 Sibu.
“Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan. Anggaran kemusnahan sekitar 30 peratus struktur rumah,” tambah Andy. – TVS