SHAH ALAM, 5 Jun: Peratusan projek sakit di seluruh negara yang berpunca kontraktor bermasalah menurun kepada 72 peratus berbanding 76 peratus sebelum ini.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kontraktor – kontraktor bermasalah itu dikenal pasti menghadapi dua punca utama, iaitu masalah pengurusan dalaman dan kewangan.
Sehubungan itu kata beliau, kontraktor terpilih melaksanakan projek kerajaan perlu diberi panduan.
“Saya berharap agar pegawai penguasa atau Pejabat Jurutera Daerah dapat memberi panduan dan nasihat kepada kontraktor yang terlibat supaya mereka dapat melaksanakan projek dengan baik.
“Kita mahu siap pada masa ditetapkan dengan kualiti yang baik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) bagi Projek Naik Taraf Sekolah Berkepadatan Tinggi Seluruh Malaysia.
Sebanyak 127 SST telah diserahkan kepada kontraktor bagi pelaksanaan projek naik taraf sekolah di enam buah negeri iaitu Selangor, Perak, Pahang, Negeri Sembilan, Terengganu dan Pulau Pinang.
Mengulas mengenainya, Ahmad berkata, Selangor merekodkan SST tertinggi dengan 111 bilangan kerja, diikuti tujuh di Perak, empat di Pahang, tiga di Negeri Sembilan dan masing-masing satu di Terengganu dan Pulau Pinang.
“127 sekolah itu yang melibatkan projek pembinaan bangunan tambahan untuk menyelesaikan masalah sekolah berkepadatan tinggi akan siap pada 30 Oktober 2025.
“Ia akan siap dalam tempoh tiga bulan, dengan ini adalah paradigma baharu Kementerian Pendidikan dan Jabatan Kerja Raya untuk menyelesaikan masalah rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Maslan menegaskan, SST yang diberikan kepada kontraktor – kontraktor dalam menjalankan projek itu dibuat secara tender terbuka dan telus.
Skop projek – projek itu melibatkan pembinaan bilik darjah termasuk bilik darjah program pendidikan khas integrasi di sekolah sedia ada dengan menggunakan reka bentuk berkonsepkan ‘industrialized building system’ (IBS). – TVS