BINTULU, 5 Jun: Seorang pengurus syarikat swasta di daerah ini kerugian RM300,000 selepas diperdaya menyertai skim pelaburan jual beli saham tidak wujud yang ditawarkan melalui aplikasi WhatsApp.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato Mancha Ata berkata mangsa, lelaki tempatan berusia lewat 30-an, membuat laporan polis selepas menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan pelaburan dalam talian.
Katanya, kejadian bermula sekitar pertengahan Mei 2025 apabila mangsa dihubungi oleh seorang rakan yang memperkenalkan satu peluang pelaburan kononnya menguntungkan.
“Mangsa kemudian diminta menghubungi seorang individu tidak dikenali iaitu suspek untuk urusan lanjut berhubung pelaburan jual beli saham itu.
“Mereka berkomunikasi sepenuhnya melalui aplikasi WhatsApp, yakni suspek menjanjikan keuntungan besar dan pulangan pantas kepada mangsa,” katanya dalam kenyataan pada malam Rabu.
Menurutnya, mangsa yang terpedaya membuat beberapa transaksi secara berperingkat ke akaun yang diberikan suspek, melibatkan jumlah keseluruhan lebih RM300,000.
“Mangsa menyedari ditipu apabila suspek terus meminta bayaran tambahan, namun sehingga laporan polis dibuat, mangsa masih belum menerima sebarang keuntungan daripada pelaburan tersebut,” katanya. – TVS