KUCHING, 5 Jun: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak mengesan antara kesalahan utama yang dilakukan pengguna jalan raya adalah penggunaan nombor pendaftaran yang tidak mengikut spesifikasi, lesen memandu tamat tempoh serta cukai jalan tidak diperbaharui.
JPJ Sarawak dalam kenyataan berkata, ia berdasarkan kepada pelaksanaan Ops Hari Raya Aidiladha (HRAA) di negeri Sarawak pada hari kedua hari ini.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar segera memperbaharui lesen memandu dan cukai jalan masing-masing.
“Di samping itu, pastikan kenderaan berada dalam keadaan baik dan selamat, mematuhi spesifikasi teknikal yang dibenarkan serta sentiasa mengutamakan keselamatan sepanjang perjalanan, terutamanya bagi yang pulang ke kampung atau menuju ke destinasi percutian sempena musim perayaan dan cuti sekolah,” kata kenyataan itu.
JPJ Sarawak menyeru semua pengguna jalan raya agar sentiasa berhemah ketika memandu dan memainkan peranan dalam memastikan keselamatan diri serta pengguna jalan raya yang lain.
Kerjasama dan kesedaran pengguna jalan raya amat dihargai dalam usaha JPJ membentuk budaya pemanduan yang selamat dan berdisiplin. – TVS