BUKIT MERTAJAM, 5 Jun: Pengagihan 100 ekor lembu kepada pembeli pada harga lebih murah di Parlimen Permatang Pauh bertujuan menggalakkan lebih ramai rakyat kurang berkemampuan melaksanakan ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha.
Setiausaha Politik Kanan Kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, inisiatif itu dilaksanakan oleh majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) yang menjual lembu korban pada harga RM2,800 seekor atau RM399 bagi satu bahagian.
Katanya, bantuan itu berbeza berbanding penyerahan daging korban oleh wakil rakyat kepada masyarakat seperti kebiasaan apabila haiwan berkenaan dijual kira-kira separuh harga pasaran kepada penganjur korban.
“Kali ini dengan pendekatan seperti itu ia tentu akan permudahkan program ibadah korban untuk disertai oleh seramai mungkin umat Islam.
“Contohnya, (wakil) Masjid Kubang Ulu, Permatang Pauh, beli 17 ekor yang kebiasaannya RM95,000, tapi kali ini harganya hanya RM47,000,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Agihan Perdana 100 Ekor Lembu Korban Termurah Parlimen Permatang Pauh di Taman Arowana, Permatang Pauh di sini.
Lembu-lembu tersebut antaranya dijual kepada wakil masjid, surau, pusat tahfiz, badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan membabitkan 40 kawasan di sekitar Parlimen itu bagi acara korban.
Tambah beliau, program berkenaan yang bermula di Permatang Pauh tahun ini dijangka akan diperluaskan ke seluruh negara pada tahun hadapan.
Katanya, lembu-lembu berkenaan diperolehi secara pukal daripada Pertubuhan Peladang Negeri Johor dan Johor Plantations Group Berhad. – TVS