KUCHING, 5 Jun: Kerajaan Sarawak mengambil pendekatan proaktif dalam memperkasa keupayaan atlet para negeri ini menerusi kolaborasi strategik bersama pusat latihan sukan antarabangsa, termasuk di Jerman.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata inisiatif tersebut bertujuan memberi pendedahan lebih meluas kepada atlet para Sarawak mengenai kaedah latihan bertaraf dunia, selain memperkukuh persiapan fizikal dan mental mereka menghadapi kejohanan antarabangsa.
“Kolaborasi bersama Pusat Sukan Paralimpik Cottbus Brandenburg di Jerman akan dimanfaatkan sebaik mungkin agar para atlet dapat menimba ilmu dan pengalaman baharu, termasuk pendekatan latihan yang digunakan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Program Kolaborasi Latihan Sukan Atlet Para antara Jerman dan Sarawak di sini, hari ini.
Beliau berharap peningkatan prestasi atlet dapat dilihat secara ketara sebaik mereka pulang, hasil daripada latihan intensif dan penyertaan dalam pertandingan di Berlin.
Mengulas lanjut, Fatimah berkata atlet para Sarawak mempunyai potensi besar untuk bersaing di pentas antarabangsa, sekiranya diberi akses kepada program latihan tersusun dan pendedahan luar negara.
Seramai 13 atlet para dan jurulatih dari Sarawak dijadual menyertai kem latihan intensif di Jerman bermula 16 hingga 25 Jun ini, melibatkan acara olahraga.