SEPANG, 5 Jun: Kementerian Pengangkutan (MOT) bercadang untuk menambah jumlah landasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) daripada tiga kepada lima landasan bagi menjadikan lapangan terbang itu sebagai hab penerbangan utama di Asia Tenggara.
Menterinya, Anthony Loke berkata potensi itu mengambil kira kelebihan dimiliki iaitu keluasan 100 kilometer (KM) persegi yang perlu dimanfaatkan oleh Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB).
Jelas beliau, kementeriannya sedang melaksanakan kajian mereka bentuk semula kawalan trafik udara aeroangkasa bagi memastikan operasi pergerakan lapangan terbang antarabangsa itu lebih efisien.
“Tidak ada lagi lapangan terbang lain di rantau ASEAN sebesar itu dari segi keluasan dan kita mempunyai keterhubungan yang baik,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Selangor Aero Park @ KLIA Aeropolis di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Sementara itu, Anthony memaklukam MOT juga menetapkan hala tuju KLIA untuk menjadi hab kargo udara terpenting di rantau ASEAN.
Anthony berkata kementeriannya telah bekerjasama dengan pemain industri dari China yang akan menyokong usaha menjadikan KLIA sebagai hab kargo udara bagi Negara Tembok Besar itu.
“Kita telah pun membangunkan dari segi kawasan kargo dan memiliki pergudangan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) yang besar,” katanya. – TVS