BANGI, 5 Jun: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sedang merangka satu akta baharu bagi bagi memperkasa gerakan koperasi di negara ini.
Ketua Setiausaha KUSKOP, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, akta tersebut kini di peringkat libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuk kerajaan negeri, koperasi besar serta institusi pengajian tinggi.
“Akta itu dijangka akan dibentangkan untuk bacaan kali pertama dalam sesi Parlimen sebelum hujung tahun ini,” katanya.
Beliau berkata ketika berucap mewakili Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick pada Majlis Perasmian Program Siri Syarahan Pemerkasaan Koperasi Angkasa-Minda UKM.
Mengulas lanjut, Khairul Dzaimee berkata, antara matlamat utama akta baharu berkenaan adalah untuk mengurangkan masalah birokrasi yang dihadapi koperasi dalam menjalankan aktiviti perniagaan dan pelaburan.
“Melalui akta baharu, kelulusan masih diperlukan tetapi mungkin hanya pada peringkat prinsip atau dasar untuk kali pertama sahaja.
“Selepas itu, koperasi boleh terus bergerak tanpa perlu kelulusan berulang kali,” jelas beliau. -TVS.