KUCHING, 5 Jun: Pengayuh solo Malaysia terkenal, Matt Mozz berjaya menawan Puncak Gunung Serapi pada ketinggian 911 meter dari paras laut (2,600 kaki) semalam.
Sarawak Forestry Corporation (SFC) dalam kenyataan berkata, ia merupakan Program Kayuhan Solo Oleh The Magnificent Matt Mozz ke Puncak Gunung Serapi anjuran JKKK Kampung Temedak /Muhibbah, Satok.
Perlepasan kayuhan telah dimulakan dengan pengayuh solo diiringi oleh lebih kurang 20 peserta pengayuh yang terdiri dari komuniti setempat Kampung Temedak/Muhibbah, Jalan Patingan, Persatuan Berbasikal Kuching dan beberapa individu setempat.
Kayuhan berkumpulan telah mengelilingi sekitar perkampungan di Satok, Waterfront, Petra Jaya dan persekitaran Matang sebelum ke lokasi acara di Taman Negara Kubah.
Permulaan Kayuhan Solo dilaksanakan di lokasi pintu masuk Taman Negara Kubah, kaki Gunung Serapi dilepaskan oleh Controller Taman Negara & Rizab Semulajadi Sarawak, Abang Arabi Abang Aimran.
Abang Arabi mengulas kolaboratif ini membawa beberapa objektif selain dari mempromosikan pembangunan modal insan yang sihat di kalangan penduduk bandaraya Kuching dan juga penghayatan komuniti terhadap alam sekitar yang segar, nyaman serta bersih.
“Antara lain program ini juga dapat mengekplorasi dan mempromosikan produk-produk ekopelancongan tempatan yang boleh dikembangkan sebagai tarikan pelancongan di Sarawak khasnya dan Malaysia amnya.
“Ia juga boleh menyumbang kepada aktiviti pelancongan lasak kalangan Komuniti yang juga dalam kawasan Sarawak Delta Geopark Kebangsaan (SDGp),” katanya. – TVS