MELAKA, 5 Jun: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang remaja lelaki orang kurang upaya (OKU) pembelajaran yang dikhuatiri sesat di hutan di Kampung Permatang Pasir, di sini dibantu anjing pengesan daripada Unit K9 Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata usaha mencari Muhamad Aidil Asyraf Fadli, 15, sejak pagi tadi hingga petang ini turut meliputi kawasan sungai dan kolam berhampiran lokasi dia dilaporkan hilang.
“Setakat ini pasukan penyelamat dan anjing K9 yang digunakan untuk mengesan jejak mangsa belum menemukan sebarang petunjuk.
“Kesemua lembu yang dijaga remaja itu juga didapati tidak hilang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Dzulkhairi berkata pusat kawalan operasi dibuka hari ini bagi menyelaras gerakan SAR melibatkan pasukan bomba, polis, Jabatan Pengairan dan Saliran selain dibantu penduduk kampung.
“Tiada kesan atau petunjuk arah pergerakan mangsa manakala telefon bimbitnya juga dipercayai dimatikan yang menyukarkan usaha pengesanan lokasi,” katanya.
Difahamkan dua anjing pengesan daripada Unit K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) turut dihantar ke lokasi pada petang ini bagi meneruskan usaha pencarian.
Muhamad Aidil Asyraf dilaporkan dikhuatiri sesat selepas dipercayai keluar mencari lembu hilang di dalam hutan di Kampung Permatang Pasir, di sini petang semalam.-TVS