BINTULU, 5 Jun: Sebuah premis makanan di sini diarah tutup berkuat kuasa 30 Mei lalu selama 14 hari kerana melanggar peruntukan Seksyen 23(1), Ordinan Perlindungan Kesihatan Awam 1999.
Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) dalam kenyataan memaklumkan tindakan penguatkuasaan ini diketuai oleh Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran dengan bantuan tiga anggota dari Unit Kawalan Kebersihan dan Keselamatan Makanan.
“Penutupan ini adalah bagi tujuan pembersihan menyeluruh premis tersebut.
“Pihak BDA tidak akan berkrompomi terhadap pemilik premis atau pengendali makanan yang gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan,” kata kenyataan itu.
Jelas kenyataan itu, semua pengendali makanan wajib memastikan tahap kebersihan premis dijaga dan makanan yang disediakan adalah bersih, selamat dan tidak membahayakan kesihatan pengguna.
“Keselamatan dan kesihatan awam adalah keutamaan kami. BDA akan terus melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan secara berterusan demi kesejahteraan komuniti Bintulu,” kata kenyatan itu. – TVS