Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Ausome Park di MBKS hari ini. Foto Awang Azmil (TVS)

Ausome Park: Taman inklusif untuk komuniti autistik

ByNur Suhaida Muliyono

KUCHING, 5 Jun: Pelancaran Ausome Park di kawasan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) menandakan satu lagi langkah signifikan kerajaan Sarawak dalam merealisasikan agenda keterangkuman sosial, khususnya untuk komuniti autistik, kata Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.

Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak itu menegaskan, pembangunan taman itu selaras dengan usaha kerajaan negeri di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, untuk memastikan tiada golongan terpinggir termasuk komuniti autistik.

“Taman ini bukan sahaja tempat terapi untuk kanak-kanak autistik, malah terapi untuk masyarakat agar kita belajar menyayangi dan memahami mereka seperti ibu bapa dan penjaga mereka lakukan, dengan kasih sayang tanpa syarat.

“Austime merangkumi spektrum yang luas, ada yang sangat berfungsi, ada yang memerlukan sokongan, tetapi semuanya adalah sebahagian daripada masyarakat kita,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan perasmian Ausome Park di MBKS di sini hari ini.

Dr Sim merakamkan penghargaan kepada MBKS dan Persatuan Autisme Kuching atas kerjasama dalam menjayakan projek Ausome Park, serta turut menyuarakan harapan beliau agar inisiatif seumpama diperluaskan ke seluruh negeri.

“Autisme tidak mengenal kaum, agama atau status ekonomi sama ada anda dari golongan B40, M40 mahupun T20 dan sama ada anda di Kuching, Sibu atau Miri, setiap anak mempunyai hak untuk disertakan dalam pembangunan masyarakat,” jelasnya lagi.

Untuk rekod, Ausome Park merupakan penghargaan terhadap keistimewaan dan bakat luar biasa kanak-kanak autistik.

Taman itu direka bentuk dengan elemen mesra deria (sensory-friendly), bukan sahaja untuk memberi ruang terapi kepada kanak-kanak autistik tetapi juga sebagai medium pendidikan dan pemahaman kepada masyarakat.

Ausome Park kini menjadi lambang kepada aspirasi Sarawak sebagai negeri yang inklusif dan progresif, iaitu sebuah negeri untuk seluruh rakyatnya tanpa mengira perbezaan. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan