KUCHING, 5 Jun: Taman permainan mesra autistik pertama di Sarawak, Ausome Park yang dirasmikan hari ini menandakan satu mercu tanda penting dalam usaha memperkukuh keterangkuman sosial negeri ini dengan mempamerkan keistimewaan hasil rekaan dan kreativiti kanak-kanak autistik.
Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng mendedahkan bahawa sebahagian besar elemen rekaan taman berkenaan diinspirasikan dan dihasilkan oleh kanak-kanak istimewa tersebut.
“Anda akan lebih menghargai hasil seni mereka berbanding orang lain. Mereka benar-benar menghasilkan karya yang luar biasa,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Ausome Park di Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) di sini hari ini.
Tambahnya, idea untuk membina taman tersebut mula tercetus tahun lalu apabila Arkitek Bandar Kuching meneliti keperluan untuk menyediakan taman permainan khas buat kanak-kanak.
Menurutnya dana awal sebanyak lebih RM430,000 berjaya diperoleh melalui permohonan geran, namun jumlah keseluruhan projek melebihi anggaran awal.
“Justeru kami menulis surat ditujukan kepada Timbalan Premier Sarawak (Datuk Amar Dr Sim Kui Hian) dan beliau meluluskan tambahan RM50,000 serta-merta. Hasilnya, lahirlah Ausome Park ini,” jelasnya lagi.
Beliau turut menegaskan taman itu bukan sekadar ruang bermain tetapi merupakan sebahagian daripada kempen kesedaran masyarakat mengenai autisme.
Menurut beliau, hasil kreativiti kanak-kanak autistik seperti reka bentuk produk, cenderamata dan barangan seni telah digunakan dalam taman tersebut termasuk untuk tujuan pengumpulan dana.
Dato Wee turut memberitahu MBKS merancang untuk membina lebih banyak taman seumpamanya di Kuching bagi memenuhi keperluan komuniti autistik yang semakin berkembang.
Dengan Ausome Park, Kuching melangkah setapak lagi ke arah menjadi bandar inklusif bagi setiap individu tanpa mengira keupayaan agar mereka mempunyai lebih banyak ruang untuk berkembang dan dihargai. -TVS