SIBU, 5 Jun: Permintaan lembu korban terus meningkat menjelang Aidiladha, namun penternak berpengalaman dari Sibu, Putit Rapiee, menghadapi kekangan bekalan dan tenaga kerja yang mengehadkan jumlah haiwan ternakan itu yang dapat dibekalkannya tahun ini.
Menurut beliau, tahun ini permintaan yang tinggi melibatkan kawasan luar Sibu, namun kekurangan bekalan menyebabkan beliau hanya mampu menyediakan sekitar lebih 30 ekor lembu sahaja.

“Semuanya telah diagihkan ke surau dan masjid sekitar Sibu termasuk Selalang dan Rajang untuk ibadah korban tahun ini,” katanya ketika ditemui.
Menurutnya, kini dirinya lebih berperanan sebagai pengedar atau ‘dealer’ iaitu dengan membeli lembu daripada penternak lain dan menjual semula berbanding menternak secara aktif seperti sebelum ini.
“Saya sebenarnya dah kurang menternak sendiri sekarang, lebih kepada sebagai dealer sebab tak ada pekerja. Kalau nak harap orang jaga kandang, memang susah. Jadi sekarang saya banyak ambil dari kawan-kawan,” jelas Putit yang sudah lebih tiga dekad berkecimpung dalam dunia penternakan.
Putit, 68, yang juga pernah membekalkan lembu sehingga ke Miri dan Lundu, kini lebih memilih untuk fokus di kawasan sekitar Sibu sahaja kerana faktor usia dan kekangan tenaga kerja.
“Dulu saya satu-satunya pembekal utama di Sibu, bahkan sampai Kapit dan Daro pun saya hantar. Tapi sekarang hanya beberapa surau dan masjid saja saya bekalkan. Jauh-jauh dah tak larat,” katanya.
Beliau yang pernah menternak sendiri lembu dan kambing dalam skala besar, kini lebih selesa berperanan sebagai pengedar dengan mengambil lembu dari penternak lain dan menjual semula pada harga pasaran.
“Kalau ternak sendiri memang untung lebih, tapi letih. Sekarang saya ambil lembu harga RM5,000 atau RM6,000, tambat dulu, kemudian jual dalam RM7,000 ke RM8,000 selepas tiga bulan. Tapi lembu tu mesti dijaga betul-betul.
Tambahnya lagi, harga lembu yang dijualnya untuk ibadah korban tahun ini berada sekitar RM7,000 hingga RM8,000 bagi yang seberat antara 250kg hingga 300kg.
Sebagai penternak veteran, Putit menekankan pentingnya penjagaan rapi dalam penternakan lebih-lebih lagi untuk ibadah korban.
“Kesihatan lembu boleh dilihat daripada selera makan, berat badan, dan kecergasan haiwan tersebut. Namun, ada juga kes lembu mengandung dijual untuk korban. Ini sesuatu yang amat saya kesali.
“Saya selalu beri tunjuk ajar kepada penternak baru. Korban ni ibadah, jadi kena jujur dan amanah. Tak boleh sembarangan. Kesian haiwan kalau kita tak jaga betul,” tambahnya.
Walaupun sudah kurang aktif menternak sendiri, Putit masih mempunyai kira-kira 15 ekor lembu di ladangnya yang terletak di kawasan Pasai Siong, yang kini disimpan sebagai benih dan tidak dijual.
Dengan pengalaman lebih 30 tahun, beliau juga menyatakan bahawa menternak lembu memang lumayan, tetapi penuh dengan cabaran.
“Kalau tak cukup pengalaman, lembu boleh terlepas, jatuh sakit, atau mati. Tapi jangan lemah bila ditimpa musibah kalau tiba-tiba lembu tu mati, kena sabar,” katanya.
Tiga jenis lembu yang sering beliau bekalkan ialah lembu Bali, Brahman dan lembu kampung dan semuanya dijaga rapi sebelum diserahkan kepada pembeli bagi memastikan ibadah korban dapat dijalankan dengan sempurna.-TVS