PULAU BRUIT, 5 Jun: Beberapa projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semop yang dijadual dilaksanakan tahun ini masih belum memulakan kerja pembinaan, sekali gus menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk kampung dan rumah panjang.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata beliau menyedari situasi itu selepas menerima beberapa aduan daripada penghulu dan ketua kaum semasa majlis ringkas penyerahan sumbangan daging sempena Hari Raya Aidiladha, hari ini.
“Keadaan begini sangat mengecewa dan meresah penduduk kampung dan rumah panjang kerana projek-projek kemudahan awam berskala kecil dan sederhana bernilai antara RM250,000 hingga RM450,000 ini amat diperlukan oleh penduduk untuk menyenangkan kehidupan dan aktiviti harian mereka.
“Kebanyakan projek itu melibatkan pembinaan baru atau naik taraf jalan raya dalam kampung atau yang menghubungi rumah panjang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pertanyaan daripada penghulu dan ketua kaum di kawasannya yang diterimanya pada majlis ringkas penyerahan sumbangan daging sempena Aidiladha di sini.

Abdullah yang juga Ahli DUN Semop turut merujuk kepada nasihat Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg agar semua wakil rakyat Gabungan Parti Sarawak sentiasa turun padang memantau kemajuan projek pembangunan asas yang telah dipohon mereka sendiri.
“Premier telah mengingatkan kami ketika mesyuarat GPS sebelum persidangan DUN (baru-baru ini) agar memastikan projek ini dilaksanakan mengikut jadual dan memberi manfaat sebenar kepada rakyat,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, Abdullah berharap agar mekanisme kelulusan dan pelantikan kontraktor untuk projek luar bandar yang berskala kecil dan sederhana dapat dipermudah dan dipercepat, tanpa menjejaskan prinsip ketelusan dan akauntabiliti.
Pada majlis itu, sebanyak 2,486 keluarga dari 16 kampung di bahagian utara DUN Semop menerima sumbangan daging korban sempena sambutan Aidiladha.
Sebanyak 5,000 kilogram daging lembu diagihkan hasil keputusan bersama dalam mesyuarat bersama ketua masyarakat serta pengerusi masjid dan surau yang diadakan baru-baru ini.
Sementara itu, empat ekor lembu korban turut diagihkan untuk dua masjid dan dua surau di kawasan perkampungan dalam DUN Semop di Bintangor.