NEW DELHI, 5 Jun: Seramai 11 orang terbunuh dan ramai lagi cedera dalam insiden rempuhan di Bengaluru, India pada Rabu di luar sebuah stadium tempat peminat kriket berkumpul meraikan kemenangan pasukan tempatan.
Seluruh negeri Karnataka di selatan India dilanda kegembiraan selepas Royal Challengers Bengaluru (RCB) menewaskan Punjab Kings dalam perlawanan akhir kejohanan kriket Liga Perdana India (IPL) pada malam Selasa.
Majlis sambutan kemenangan itu dianjurkan Persatuan Kriket Negeri Karnataka (KSCA) di dalam Stadium Chinnaswamy, Bengaluru, sejurus skuad RCB pulang dari Ahmedabad di negeri Gujarat, lokasi perlawanan akhir diadakan.
Pertunjukan bunga api mewarnai langit Bengaluru malam Selasa selepas RCB meraih kejuaraan sulung mereka dalam sejarah 18 tahun kejohanan IPL, satu pertandingan kriket T20 yang mencuri tumpuan ratusan juta rakyat India.
Sebelas orang dilaporkan maut dan puluhan cedera apabila jumlah hadirin memuncak di luar Stadium Chinnaswamy.
Majlis itu kemudiannya dibatalkan berikutan insiden rempuhan tersebut.
Stadium berkenaan mempunyai kapasiti 35,000 orang, namun media tempatan memetik Ketua Menteri Karnataka, Siddaramaiah, sebagai berkata bahawa kira-kira 300,000 orang telah hadir bagi meraikan kemenangan itu.
“Saya amat terkejut dengan kehilangan nyawa akibat rempuhan semasa sambutan kemenangan RCB berhampiran Stadium Chinnaswamy. Saat kegembiraan bertukar menjadi kesedihan,” kata Siddaramaiah menerusi catatan di platform media sosial X.
“Langkah berjaga-jaga telah diambil dengan tidak membenarkan perarakan kemenangan, namun lonjakan orang ramai di sekitar stadium menyebabkan tragedi ini berlaku. Saya menggesa semua pihak agar sentiasa mengutamakan keselamatan – mengatasi keterujaan, sambutan mahupun semangat berkumpulan,” katanya.
Lebih 100,000 orang turut berhimpun di bangunan dewan undangan negeri namun tiada insiden tidak diingini dilaporkan di lokasi itu. -TVS