SHAH ALAM, 5 Jun: Polis Selangor menerima sebanyak 101 laporan membabitkan penipuan pelaburan mesin kopi layan diri oleh Syarikat Arissto dan Syarikat JV Smart Vending yang melibatkan kerugian berjumlah RM6.5 juta.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata pihaknya telah membuka 10 kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, manakala 91 laporan telah dirujuk kepada laporan polis terdahulu yang telah dibuka kertas siasatan dan disiasat di bawah seksyen sama.
Jelas beliau, hasil siasatan mendapati mangsa telah diberikan penerangan oleh suspek mengenai pelaburan itu berdasarkan modus operandi pembelian mesin layan diri yang menjanjikan pulangan yang tinggi.
“Selepas mendengar penerangan mengenai pelaburan yang ditawarkan, mangsa tertarik dan menyertai program pelaburan mesin layan diri dengan membuat bayaran kepada akaun yang diberikan oleh suspek,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Tambah beliau, pada awalnya mangsa menerima keuntungan namun selepas beberapa lama, tiada lagi pulangan diterima. -TVS.