Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Michael Tiang (tengah) mengetuai laungan semangat semasa majlis menaikkan bendera parti di perkarangan ibu pejabat SUPP Sibu hari ini. Foto TVS

SUPP terus komited perjuang hak rakyat Sarawak

SIBU, 4 Jun: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) komited untuk terus memperjuang dan mempertahankan hak rakyat Sarawak, kata Naib Presidennya merangkap Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee.

Menurut beliau, sejak ditubuhkan pada tahun 1959, SUPP merupakan parti politik tempatan pertama di Sarawak yang menjunjung prinsip kesamarataan tanpa mengira kaum atau agama, sekali gus memainkan peranan penting dalam usaha menyatupadukan masyarakat berbilang kaum di negeri ini.

“Lebih enam dekad lalu, generasi terdahulu telah bangkit menolak penjajahan serta segala bentuk perpecahan demi menjamin masa depan yang lebih cerah untuk Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Menaikkan Bendera SUPP Sibu yang berlangsung di perkarangan Ibu Pejabat SUPP Sibu hari ini.

Tambahnya yang juga Pengerusi SUPP Cawangan Pelawan, fokus utama SUPP ketika ini ialah memperjuangkan hak autonomi Sarawak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Kita tidak akan membiarkan kerajaan persekutuan meminggirkan kepentingan Sarawak,” tegasnya lagi.

Tiang turut menekankan komitmen berterusan SUPP dalam membangunkan Sarawak secara holistik, merangkumi kawasan bandar dan luar bandar, selain memperkasa sektor utama seperti pendidikan dan ekonomi.

“Matlamat utama kita ialah untuk memastikan setiap rakyat Sarawak dapat menikmati kehidupan yang lebih baik, makmur dan sejahtera,” katanya.

Beliau turut mengakui bahawa perjuangan ini bukan mudah, malah berdepan pelbagai halangan dan cabaran sepanjang jalan.

“Namun, rakyat Sarawak telah membuktikan bahawa dengan semangat perpaduan dan kesungguhan, segala rintangan dapat diatasi demi kemajuan negeri tercinta ini,” ujarnya lagi.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh rakyat Sarawak agar terus berganding bahu dan memupuk semangat kebersamaan demi masa depan negeri yang lebih cemerlang dan gemilang.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan