KUALA LUMPUR, 4 Jun: Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu menyampaikan ucapan tahniah kepada Presiden Lee Jae-myung yang dipilih sebagai presiden baharu Korea Selatan.
Menurut Perdana Menteri, kemenangan Presiden Lee merupakan detik penting bagi negara itu yang berjaya bangkit daripada persaingan politik yang sengit dengan komitmen terhadap nilai-nilai demokrasi.
Beliau turut mengalu-alukan peluang untuk bekerjasama termasuk memperkukuh hubungan antara kedua-dua negara.
Lee Jae-myung presiden baharu Korea Selatan selepas menang pilihan raya
“(Kerjasama) ini terutama dalam bidang perdagangan dan teknologi, keamanan dan keselamatan, serta jalinan erat antara rakyat Malaysia dengan Korea Selatan.
“Malaysia turut berharap agar ASEAN akan diberi perhatian lebih besar dalam kerangka serantau negara itu.
“Sebagai Pengerusi ASEAN dan Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) masing-masing pada 2025, Malaysia dan Korea Selatan berada dalam kedudukan terbaik untuk memacu inisiatif serantau berimpak tinggi,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Perdana Menteri Anwar turut menyatakan hasrat untuk bertemu Presiden Lee dalam dua acara antarabangsa penting yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur pada Oktober depan, sempena Sidang Kemuncak ASEAN,L dan di Gyeongju untuk Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC.
Lee daripada Parti Demokratik dipilih sebagai Presiden ke-21 Korea Selatan selepas meraih kemenangan dalam Pilihan Raya Presiden yang berlangsung pada Selasa. – TVS.