GEORGE TOWN, 4 Jun: Seorang pengurus syarikat berputih mata apabila wang miliknya sebanyak RM1.3 juta lesap selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan pelaburan dalam talian tidak wujud kelmarin.
Mangsa lelaki berusia 46 tahun dipercayai mula terjerat dengan sindiket itu selepas melihat iklan berkonsepkan jual beli saham melalui aplikasi Instagram pada April lalu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, lelaki itu dikatakan telah berhubung dengan seorang wanita disyaki ahli sindiket melalui aplikasi WhatsApp.
Katanya, mangsa kemudiannya telah dijanjikan pulangan lumayan alam tempoh singkat sekiranya menyertai pelaburan itu.
“Lelaki itu yang berminat menyertai pelaburan telah memuat turun aplikasi TPG PRO untuk melabur.
“Dalam tempoh 27 April hingga 29 Mei, dia membuat 21 transaksi pindahan wang berjumlah RM1,316,111 ke dalam empat akaun berbeza milik syarikat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, mangsa akhirnya menyedari diirnya ditipu selepas gagal mengeluarkan keuntungan daripada pelaburan itu.
“Manga juga telah diminta untuk membuat tambahan modal saham bagi membolehkan pengeluaran kauntungan.
“Dia telah tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan pada 2 Jun lalu,” katanya lagi.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – TVS.