KUCHING, 4 Jun: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melancarkan Ops Hari Raya Aidiladha (Ops HRAA) 2025 bermula hari ini hingga 10 Jun bagi memastikan tahap keselamatan pengguna jalan raya berada pada tahap tertinggi sepanjang musim perayaan.
Menurut kenyataan JPJ Sarawak, operasi penguatkuasaan itu dilaksanakan secara serentak di seluruh negara, memfokuskan kepada pemantauan, pengesanan serta tindakan tegas terhadap mana-mana pemandu atau pemilik kenderaan yang melanggar peraturan lalu lintas dan undang-undang jalan raya.
“Tindakan penguatkuasaan ini adalah selarang dengan peruntukan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Akta 334) serta Akta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715),” menurut kenyataan yang dimuat naik di Facebook rasmi JPJ Negeri Sarawak, hari ini.
JPJ memandang serius setiap bentuk pelanggaran undang-undang jalan raya dan akan menjalankan penguatkuasaan secara berfokus bagi memastikan tahap pematuhan yang tinggi dalam kalangan pengguna.
“Orang ramai dinasihatkan supaya memastikan kenderaan masing-masing berada dalam keadaan baik, mematuhi spesifikasi yang dibenarkan dan sentiasa mengutamakan keselamatan, khususnya ketika pulang ke kampung atau bercuti sempena Aidiladha dan cuti sekolah,” kata kenyataan itu. – TVS