Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Ketiadaan wakil pekerja dalam delegasi Malaysia ke Persidangan Buruh Antarabangsa (ILC) 2025 di Geneva disifatkan sebagai kegagalan serius susulan kemelut dalaman Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang masih berlarutan.

MTUC disaran fokus kepada perjuangan hak pekerja

ByMuqri Aziz

KUCHING, 4 Jun: Ketiadaan wakil pekerja dalam delegasi Malaysia ke Persidangan Buruh Antarabangsa (ILC) 2025 di Geneva disifatkan sebagai kegagalan serius susulan kemelut dalaman Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang masih berlarutan.

MTUC Bahagian Sarawak dalam satu kenyataan menegaskan bahawa pertikaian kepimpinan yang berpanjangan telah menjejaskan peranan utama MTUC sebagai penyelaras suara pekerja di peringkat antarabangsa.

“Kami menyeru semua pihak dalam MTUC agar menumpukan sepenuhnya kepada pelaksanaan pemilihan semula kepimpinan bagi menamatkan krisis ini. MTUC mesti kembali berfungsi sebagai organisasi pekerja yang dihormati dan kredibel dalam memperjuangkan hak pekerja.

“Keutamaan harus diberikan kepada ketelusan, keadilan dan penyelesaian segera bagi memastikan MTUC kembali berfungsi sebagai badan yang memperjuangkan hak pekerja secara efektif,” menurut kenyataan itu hari ini.

Ketidaktentuan pentadbiran MTUC yang kini dikendalikan oleh Jawatankuasa Bersama Khas (JBK) telah menyebabkan pemilihan semula kepimpinan ditangguhkan ke Ogos 2025. Ketiadaan barisan kepimpinan baharu itu sekali gus menjejaskan penyertaan rasmi wakil pekerja ke ILC.

“MTUC Bahagian Sarawak ingin menegaskan bahawa JBK harus memberi fokus sepenuhnya kepada isu pemilihan kepimpinan dan menghentikan sebarang kenyataan yang boleh mencetuskan kekeliruan dalam kalangan pekerja serta pihak berkepentingan,” tegas kenyataan itu lagi.

Sementara itu, Kesatuan Pekerja Bank Sarawak (SBEU), dalam satu kenyataan berasingan, turut berkata bahawa JBK telah melangkaui mandat apabila mengeluarkan kenyataan berhubung penolakan perwakilan oleh kerajaan.

“Kami amat bimbang terhadap kenyataan sedemikian kerana ia berada di luar mandat Jawatankuasa Bersama Khas untuk mencalonkan mana-mana pegawai sebagai perwakilan. Tanpa pencalonan rasmi, kerajaan tidak dapat memberikan pengesahan bagi pihak MTUC.

“Kami ingin menegaskan sekali lagi bahawa berdasarkan perintah persetujuan mahkamah, peranan Jawatankuasa Bersama Khas hanyalah untuk mengadakan Persidangan Perwakilan Khas dan mentadbir urusan MTUC sehingga 22 Mei 2025. Mandat tersebut tidak merangkumi kuasa untuk mencalonkan atau mewakili MTUC dalam mana-mana persidangan atau organisasi,” menurut Ketua Pegawai Eksekutif SBEU, Andrew Lo dalam kenyataan berkenaan.

Tambahnya, sebarang tindakan di luar mandat boleh dianggap sebagai penghinaan mahkamah dan berisiko membawa implikasi perundangan terhadap MTUC.

“MTUC perlu menyelesaikan isu dalaman dengan segera agar dapat kembali memainkan peranan yang sewajarnya dalam mewakili kepentingan pekerja Malaysia. Keutamaan harus diberikan kepada pemulihan struktur organisasi dan bukan menumpukan kepada penyertaan dalam persidangan luar negara,” katanya lagi – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan