TATAU, 4 Jun: Mayat seorang lelaki yang dikhuatiri lemas berhampiran Rumah Panjang Enjan, Nanga Biban, Sungai Tatau ditemui hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata mangsa, Alexsen Gindi, 24, ditemui pada jam 9.10 pagi.
“Pihak bomba menerima makluman daripada pihak polis bahawa mayat mangsa telah ditemui oleh orang awam kira-kira lima meter dari tebing sungai, berhampiran rumah panjang mangsa,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menggunakan bot digerakkan ke lokasi penemuan yang terletak kira-kira 14 kilometer dari Pusat Kawalan Bomba (PKB).
“Sebaik tiba di lokasi, pasukan mengesahkan penemuan mayat oleh orang awam. Bomba bersama polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) kemudian mengambil mayat tersebut dan menyerahkannya kepada pihak polis Tatau untuk tindakan lanjut.
Dengan penemuan itu, operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.45 pagi.